Al-Jarir & Serban Rasulullah SAW


Suatu hari Jarir bin Abdullah Al-Bajli terlewat datang ke rumah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Ketika itu rumah Baginda sudah melimpah dengan orang ramai. Sama seperti Jarir, semua yang datang ada hajat masing-masing untuk berjumpa Nabi selain ingin mendengar syarahan serta bimbingan daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Jarir mencelah-celah mencari tempat. Ketika itu timbul rasa kesal kerana datang terlalu lewat. Namun selepas berusaha, dapat juga dia ke ruang hadapan. Walaupun syarahan belum bermula, selalunya waktu begitu dia sudah bersila di hadapan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Bagaimanapun badannya yang kecil memudahkannya menyelit di celah orang ramai itu. Selepas meminta maaf sambil memberikan senyuman, seorang lelaki mengesot sedikit, memberi Jarir ruang yang cukup untuk bersila.

Dia melihat para sahabat yang lain juga terpaksa duduk bersesak-sesak sehingga tiada ruang lagi yang kosong. Kedatangan Jarir disedari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Baginda nampak Jarir duduk di atas lantai tanpa tikar. Lalu baginda melepaskan serban di bahu dan memberikan kepada tetamu istimewanya itu. “Hai Jarir, duduklah di atas serbanku ini,” pelawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sambil tersenyum lalu membentangkan kain serban itu di lantai.

Jarir terkejut bercampur terharu kerana mendapat perhatian baginda. Dia mengambil serban tersebut lalu diusap-usap ke mukanya beberapa kali. Jarir kemudian menangis teresak-esak. Kemudian dia melipatnya seperti sediakala dan memulangkan semula secara terhormat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. “Tak mungkin aku duduk atas pakaianmu yang mulia ini wahai Nabi Allah. Semoga Allah memuliakan Rasulullah sebagaimana baginda memuliakan aku,” kata Jarir sebak.

Orang ramai yang hadir terpegun bahkan ada yang turut mengalirkan air mata. Sambil menoleh ke kanan dan kiri, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila datang seorang tetamu yang mulia maka muliakanlah dia, dan apabila datang kepada kamu seorang yang ada hajat atas kamu maka muliakanlah mereka.”

والله أعلم بالصواب
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

Posted by; shafiqolbu

0 Response to "Al-Jarir & Serban Rasulullah SAW"

Posting Komentar

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==